Apakah Dimensia dari segi perubatan?
Pengenalan
Dementia adalah sejenis penyakit otak yang progresif. Ia boleh membawa kepada penurunan dalam menjalankan aktiviti harian dan boleh menyebabkan pesakit memerlukan penjagaan masa panjang.
Sebahagian dari pesakit dementia kurang/tidak berupaya melakukan aktiviti-aktiviti harian. Mereka juga sukar untuk menyelesaikan masalah atau mengawal emosi.
Berapa kerap berlakunya dementia?
Kadar kekerapan dementia berlaku adalah di antara 2% hingga 20%. Ianya berganda setiap 5 tahun peningkatan usia bagi mereka yang berumur 65 tahun ke atas. Lebih dari separuh pesakit dementia mengalami penyakit Alzheimer.
Siapakah yang mempunyai lebih tinggi risiko mendapat dementia?
- Setengah jenis dementia lebih tinggi di kalangan wanita.
- Mereka yang mengalami masalah tekanan darah yang tak terkawal, penyakit kencing manis, penyakit jantung, paras lemak dalam darah yang tinggi
- Pesakit yang mengalami penyakit Parkinson.
- Mereka yang terencat akal atau tahap pembelajaran yang rendah.
Ada juga terdapat fakta genetik/ keturunan yang didapati meninggikan risiko tanpa menyebabkan penyakit berlaku.
Tanda-tanda dan gejala
- Hilang daya ingatan yang menyebabkan masalah dalam pekerjaan atau perjalanan kehidupan harian.
- Masalah dengan aktiviti yang biasa dilakukan, seperti memasak, mandi dan mengenakan pakaian.
- Sukar mencari perkataan yang mudah, sukar menerangkan sesuatu, atau kerap mengulangi percakapan (echolalia).
- Masalah dalam orientasi, contohnya kerap hilang arah walaupun di kawasan yang biasa dilalui
- Hilang keupayaan membuat penilaian
- Masalah dalam pemikiran abstrak, misalnya mengalami masalah menentukan apa yang ingin di beli semasa keluar membeli belah.
- Meletak barang di tempat lain atau kerap tertinggal barang.
- Perubahan emosi secara tiba-tiba, biasanya dengan tidak bersebab. Mereka mungkin mengalami perubahan dalam tingkah laku.
- Perubahan dalam perwatakan, daripada seseorang yang peramah kepada seseorang yang cepat marah, cemburu atau penakut (timid)
- Hilang minat dan kecenderungan dalam pekerjaan dan hobi mereka.
Anda boleh mencuba ujian ini (SDS, Mundt et al,) untuk mendapati adakah anda atau mana-mana ahli keluarga anda mungkin mengalami dementia
Komplikasi
Jika dementia tidak dikesan awal, beberapa akibat mungkin terjadi, seperti:
- Peningkatan dalam penyakit fizikal atau penyakit mental
- Peningkatan dalam kadar kematian.
- Dementia boleh membawa kepada kemasukan dalam institusi penjagaan dengan lebih awal.
- Ia boleh menimbulkan tekanan kepada penjaga dan menimbulkan penyakit fizikal dan mental di kalangan penjaga.
- Ia boleh menyebabkan penderaan ke atas pesakit.
Bolehkah dementia dirawat?
Pada masa ini dementia tidak boleh diubati, tetapi pembelajaran dan sokongan kepada pesakit dan penjaga pesakit dementia dapat membantu dalam mengawal sesetengah gejala penyakit. Ada terdapat beberapa jenis ubatan yang boleh menolong dalam mengawal gejala dan meningkatkan fungsi kognitif. Ada juga ubatan yang digunakan untuk merawat psikosis, kemurungan dan masalah emosi.
Pencegahan
Kajian mendapati bahawa aktiviti yang merangsang intelek seperti bermain catur, membaca dan sebagainya dapat mengurangkan risiko berlakunya dementia. Amalan cara hidup sihat boleh juga mengurangkan risiko mendapat dementia.
Rehabilitasi
Terdapat banyak terapi psikososial yang memberi manfaat kepada pesakit dementia. Ini termasuk memberi sokongan kepada pesakit dalam menjalani aktiviti harian mereka, menggalakkan aktiviti yang merangsang fungsi mental dan pancaindera mereka serta banyak lagi. Kumpulan sokongan yang berdekatan anda dapat membantu anda dalam memberi cadangan tentang aktiviti yang berkesan.
Kumpulan sokongan
Alzheimer’s Disease Foundation of Malaysia
Johor Bahru Alzheimer’s Disease Association (JOBADA)
Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia.
http://www.myhealth.gov.my/en/demensia/
Ulasan
Catat Ulasan